Thursday, January 06, 2011

Bebaskan Anak Anda Daripada Ancaman Cacing

Bebaskan Anak Anda Daripada Ancaman Cacing
Oleh Dr Selvakumar Sivapunniam, Pakar Perunding Pediatrik

Jangkitan cacing adalah masalah biasa, terutama sekali di kalangan kanak-kanak kecil. Mereka mudah dijangkiti cacing kerana tabiat gemar memasukkan benda ke dalam mulut dan tidak membasuh tangan. Sungguhpun jangkitan cacing gelang, komplikasi seperti kekurangan zat makanan dan gangguan usus boleh berlaku jika dibiarkan dan tidak dirawat

Terdapat beberapa jenis cacing yang berlainan dalam perut manusia seperti cacing gelang, cacing kerawit dan cacing pita. Cacing parasit yang paling biasa terdapat dalam perut ialah cacing peniti, juga dikenali sebagai cacing benang. Ia sangat kecil, panjang lebih kurang 2-13mm, halus dan berwarna putih. Walaupun cacing benang boleh memasuki usus sesiapa sahaja, kanak-kanak lebih mudah dijangkiti.

Kitaran Hidup
Apabila seorang kanak-kanak dijangkiti cacing benang, cacing betina akan keluar pada waktu malam untuk bertelur di keliling dubur. Jika kanak-kanak menggaru dubur, telur pindah ke tangan dan celah kuku jari, seterusnya ke objek lain yang disentuh seperti makanan dan berus gigi. Telur cacing, yang boleh hidup sehingga dua minggu, akan ditelan apabila orang lain memasukkan objek yang dicemari telur cacing ke dalam mulut mereka. Telur ini masuk ke dalam badan dan menetas dalam usus, seterusnya memulakan kitaran hidup sekali lagi.

Adakah Anak Anda Dijangkiti Cacing?
Jangkitan cacing benang agak sukar untuk dikenal pasti. Perhatikan tanda dan gejala berikut:
  • Kegatalan dubur, dan juga vagina di kalangan kanak-kanak perempuan, terutama sekali pada waktu malam.
  • Cacing dewasa kadang kala boleh dilihat dalam najis – halus, putih, seperti benang kapas.
  • Cacing keluar ke sekeliling dubur selepas anak tidur.
  • Kurang selera makan, gelisah dan rengsa.
Memudaratkan atau Tidak?
Cacing benang biasanya tidak memudaratkan, tetapi sering menyebabkan kegatalan dan rasa tidak selesa di keliling dubur. Tetapi jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi selanjutnya. Sebagai parasit, cacing menyukarkan badan untuk menyerap nutrien penting, yang boleh menimbulkan masalah perkembangan kognitif dan fizikal, kekurangan vitamin A dan zat besi, anemia dan masalah malnutrisi lain. Jangkitan teruk boleh menyebabkan sakit abdomen manakala anak gadis pula boleh mengalami lelehan vagina dan masalah membuang air kecil sekiranya cacing bertelur dalam vagina atau salur kencing mereka.

Diagnosis dan Rawatan
Cacing benang biasanya boleh dikesan melalui “ujian pita”. Sepotong pita jernih ditekap pada kulit keliling dubur untuk mengutip telur dan diperiksa di bawah mikroskop. Semua anggota keluarga perlu dirawat, tidak kira sama ada mereka dijangkiti atau tidak, untuk mengelakkan jangkitan. Ubat seperti pil Mebendazole yang boleh kunyah perlu diambil untuk membunuh cacing dalam usus. Ini disusuli dengan langkah menjaga kebersihan untuk mencegah jangkitan dan jangkitan semula.

Menjauhkan daripada Cacing …
Mencegah jangkitan daripada merebak memerlukan beberapa langkah mudah dan amalan menjaga kebersihan.
  • Basuh semua baju tidur, seluar dalam serta cadar, selimut dan sarung bantal selepas rawatan.
  • Pastikan anak anda membasuh tangan mereka sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan kuku mereka sentiasa pendek.
  • Tegah mereka daripada menggigit kuku dan menggaru keliling dubur.
  • Pastikan mereka memakai seluar dalam yang bersih setiap hari.
  • Mandikan mereka setiap pagi untuk mengurangkan pencemaran telur.
Jangan Berkaki Ayam!

Cacing daripada tanah seperti cacing kerawit boleh dipindah kepada manusia apabila tanah dicemari najis yang dihurung telur parasit. Biasanya, di kawasan yang tidak mempunyai sistem tandas yang betul, jangkitan merebak melalui mulut (air atau hasil tanaman tercemar), tangan kotor dan tembusan melalui kulit (berkaki ayam). Ia menyebabkan loya, kelesuan dan kehilangan selera makan. Oleh sebab cacing ini ‘mencuri’ nutrien yang diperlukan oleh badan kita, ia mesti dirawat untuk mencegah kekurangan zat makanan dan anemia.


No comments: